Category Archives: Uncategorized

Kurator untuk @twt_malaysia

Anda mungkin ke sini kerana pautan yang di profil Twitter saya 🙂

Saya jarang menulis sekarang kerana komitmen kerja. Sementara itu, sila ikuti saya di laman mikroblog Twitter @smamat

Saif

Hero – 19 Okt 2011

Aku tersedar pada jam 4.33 pagi. Sebelum subuh, aku membaca dan solat sedikit sebanyak. Aku agak siang nanti aku akan mengantuk.

Separuh perjalanan ke pejabat, kantuk mula menyapa sehingga aku hampir membahayakan diri di sebuah selekoh tajam kawasan Kg Paloh Pintu Geng. Hati berdebar oleh kerana adrenalin yang juga membuatkan aku jaga sepenuhnya. Aku sepatutnya lebih berhati-hati kerana jalanraya licin dek hujan yang turun sejak subuh tadi lagi.

Selepas lampu isyarat Kg Sireh aku memberhentikan kereta di sebelah kanan jalan di hadapan warung untuk membeli sarapan. Sebuah kereta diparkirkan di hadapan kereta aku tidak lama kemudia. Apabila masuk semula ke dalam kereta, aku nampak sebuah kereta datang dari arah bertentangan diikuti dengan sebuah motorsikal yang berlalu dengan kelajuan sederhana. Sejurus sahaja aku meluncur keluar sebuah lagi motorsikal muncul dengan laju. Motor dibrek di hadapan aku lalu berpusing-pusing selama dua kali. Aku terus memberhentikan kereta di seberang jalan.

Terlintas di fikiran untuk terus berlalu. Seorang lelaki yang lalu menguis tangan seolah-olah memberi galakkan, malah desakan. Itu salah, fikir aku. Penunggang tadi sudah bangun dan mengalihkan kenderaannya ke seberang jalan dan menunggu. Walaupun khuatir digertak aku memberanikan diri. Tidak kena jika aku meninggalkan orang dalam kesusahan sendirian. Tambahan pula aku adalah penyebabnya.

Alhamdulillah, hanya kakinya berdarah akibat tersesek pada tarmak. Motornya tidak teruk. Aku menawarkan untuk membawanya ke klinik dan menghantarnya pulang. Dia kata tidak perlu dan hanya meminta sedikit ganti rugi, dalam RM 20 atau 30. Aku terpaksa ke Tesco untuk mengambil sedikit wang dari mesin ATM. Setelah menghulurkan sedikit wang aku menyambung perjalanan ke pejabat.

Walaupun diketahui aku yang bersalah dalam hal ini, lelaki tersabut tidak meletakkan kesalahan pada aku sepenuhnya. Katanya dia memandu dengan agak laju walapun jalan licin. Dia membrek dengan lebih awal agar tidak merempuh kereta aku. Tentulah kerosakan lebih teruk dan melibatkan kami berdua. Sebanyak mana ganti rugi yang aku bayar tidak akan tetap membalas jasa dan menghargai keberanian seorang manusia seperti dia.

Dia mungkin hanya sebuah buruh kasar di bumi ini tetapi bagi aku semangatnya seperti bintang yang bersinar di langit. Semoga Allah melindunginya dan membalas jasanya sebaik-baiknya.

Aidilfitri 1432H

Jenazah diusung ke dalam masjid

Masjid penuh sesak dengan kehadiran ahli jemaah dari seluruh pelusuk negeri bagi meraikan al-marhum Tuan Guru Hj Hashim buat kali terakhir.

Hari Raya pada tahun ini agak berlainan kerana aku tinggal di rumah kakak, sebelah rumah aku. Rasa sedikit terkilan kerana tidak berpeluang untuk meraikan Aidilfitri di rumah sendiri dan terutama sekali bersama-sama ibu.

Selepas solat sunat hari raya, aku terus memandu ke arah selatan negeri pada pukul 10.30 pagi. Pada mulanya aku berhajat untuk menziarahi dua orang kawan, seorang di Rantau Panjang dan seorang lagi di Tanah Merah. Malangnya mereka berdua berada di tempat lain. Aku meneruskan perjalanan menyeberangi Sungai Kelantan ke Machang.

Setiap kali melintasi jambatan ini dari Kusial ke Pangkal Meleret aku terasa seronok. Permandangan kiri kanan jalan sehinggalah ke Kg Wakaf Bata amat indah. Kawasan lembah di sepanjang jalan ditanam dengan pelbagai pokok atau dibiarkan liar sahaja begitu hijau dan subur. Aku selalu mencari alasan untuk lalu jalan ini.

Sultan Muhammad V dan Tengko Mahkota

Kehadiran bersama Sultan Muhammad V dalam solat jenazah seolah-olah mengiktiraf dan menaikkan taraf institusi pondok di Negeri Kelantan.

Di Machang aku ke rumah Nazli berhampiran Sekolah Wataniah. Jalanraya di Machang agak mengelirukan setelah beberapa jejambat dibina semasa aku di luar negara. Selepas itu aku ke Pulai Chondong untuk beraya di rumah Arif. Selepas Zohor aku kembali ke Bandar Machang untuk berjumpa dengan Shahrul dan Rafidah, dua rakan lama dari sekolah yang berumahtangga bersama. Lama juga kami berbual.

Semasa itu juga aku dapat tahu melalui Twitter bahawa Hj. Hashim tuan guru Pondok Pasir Tumbuh meninggal dunia. 04Jalanraya sedikit sesak untuk ke sana. Kawasan luar pondok sudah dipenuhi dengan kenderaan yang diparkir di tepi jalan. Selepas Asar, kami menunggu sedikit lama untuk mendirikan solat jenazah. Rupa-rupanya Sultan Muhammad V berkenan untuk turut sama menyembahyangkan jenazah. Sempat juga aku bersalam dengan baginda setibanya baginda di masjid.

Selepas bersurai aku mengambil jalan pulang melalui Binjai dan Kubang Kerian. Jalan sedikit sibuk tapi hari ini hari raya pertama, mungkin tidak akan sesibuk hari-hari yang seterusnya. Aku sempat bersolat maghrib berjamaah di masjid kampungku.

10 Malam Terakhir Ramadan 1432H

Ramadan 1432H berlalu dengan pantas. Antara yang aku paling ingat adalah cuaca agak panas dan kering pada 20 hari pertama. Hari-hari berpuasa aku lalui dengan tenang memandangkan suasana di pejabat tidak rancak  setelah reda daripada kekalutan Jun dan Julai.

Seperti biasa aku cuba menunaikan solat taraweh di masjid kampungku. Kadang-kadang aku bersolat di Masjid Muhammadi dan juga di Qaryah Ramadhan di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV.

Mengingatkan cerita Arif tentang amalan iktikafnya dua tahun lepas pada 10 malam terakhir, aku berazam untuk merasai yang serupa. Pada awalnya aku berniat untuk bermalam sepanjang masa di sana. Oleh kerana aku tidak sanggup meninggalkan ibu berbuka tanpa aku selama 10 hari berturut-turut aku memilih untuk  bermalam di sana hanya pada setiap malam ganjil. Lagipun aku tidak pasti samaada Arif akan ada bersama kali ini kerana dia sedang sibuk menguruskan isterinya yang baru bersalin.

Dewan solat Masjid Muhammadi dalam hitam putih.

Aku hanya mula ke sana pada malam ke-23. Alangkah suka hati aku apabila nampak Arif semasa iftar. Sekurang-kurangnya aku tidak akan keseorangan. Selepas taraweh hujan turun dengan lebat selama lebih kurang sejam dan kawasan sekitar masjid dilanda banjir kilat.

Qiyamullail bermula pada jam 4.00 pagi. Kami menunaikan 8 rakaat solat tahajjud berimamkan Imam Abdul Bari yang mantap bacaannya. Dari 4.40 pagi kami membuat aktiviti sendiri. Aku bersolat empat rakaat lagi, bertilawah dan berzikir. Pada 5.15 pagi kami bersahur. Masjid menyediakan nasi bungkus dan air.

Begitu juga pada malam-malam ganjil yang lainnya. Pengalaman pada malam pertama meninggalkan kesan yang agak mendalam dan aku dapat merasakan keseronokan beribadah. Atau mungkin ada orang panggil kemanisan iman. Kita semua maklum tentang nikmat solat tahajjud.

Lalu timbul persoalan bilakah malam Lailatul Qadr yang dinantikan oleh semua? Aku merasakan seolah-olah ia jatuh pada malam ke-23 itu. Ramai orang kata Lailatul Qadr jatuh pada malam yang langitnya cerah dan bercuaca baik. Tetapi malam itu hujan agak lebat. Aku diperlihatkan hadis ini oleh Arif di mana sedutannya berbunyi:

Abu Said al-Khudri: … malam itu hujan dan atap masjid tiris kerana ia diperbuat dengan pelepah tamar. Aku nampak dengan mata sendiri ada kesan selut dan air pada dahi Nabi. (Bukhari,  kitab 33, nombor 244)

Apa-apa pun, aku berharap agar aku telah bertemu dengan malam yang mulia itu ketika aku sedang rebah di tempat sujud bukannya di atas tilam empuk. Amin.

Kotak dan Budak

Sebuah video yang telah dirakam menggunakan Nokia N8. Cerita yang indah serta lokasi penggambaran yang cantik (Norway).

Tandatangan Dewasa

20110814-092759.jpg

Aku rasa tandatangan aku dah nampak macam tandatangan orang dewasa akhirnya.

Aku rasa lah.

Suatu petang beriftar di Masjid Muhammadi, 8 Ramadhan 1432H

Semalam aku berbuka puasa di Masjid Muhammadi. Setelah berbuka untuk 7 hari pertama di rumah aku ingin mencari kelainan.

Selepas solat Asar di situ aku mendengar tazkirah oleh Ustaz Azhar Abdullah. Beliau menerangkan beza di antara bazir dan israf. Membazir bererti membelanjakan harta untuk maksiat manakala israf adalah berlebih-lebihan dalam berbelanja untuk sesuatu yang harus.

Contohnya berbelanja membeli makanan secara berlebihan untuk iftar. Pada asalnya hukumnya harus. Akan tetapi jika makanan iut tidak habis dimakan dan kemudian dibuang, hukumnya haram. Jadi israf adalah sesuatu yang perlu kita elak.

Salah sebuah belfry di Masjid Muhammadi.

Selepas mandi di pejabat aku pulang ke masjid pada 6.30 ptg. Setelah bertilawah menghabiskan surah al-Kahf aku beralih ke tempat berbuka di anjung masjid. Aku terdengar dua orang lelaki berbual-bual dalam bahasa Arab. Lelaki pertama dari Yemen dan yang kedua dari Tunisia. Lelaki Yemen itu baru menghabiskan sarjananya di UIA. Dia datang ke Kelantan untuk merasa sendiri Ramadhan di Kelantan. Dia amat kagum dengan suasana di Kota Bharu. Katanya, masa belum tiba untuk dia pulang ke tanahair yang tengah huru-hara.

Lelaki Tunisia itu sudah tinggal di Bangkok lebih 5 tahun. Beliau datang ke Kota Bharu untuk tujuan yang serupa. Katanya, isteri dan anak-anak beliau telah meninggal beberapa tahun sebelum itu di Maghribi akibat dadah. Di Bangkok, dia berkahwin dengan seorang wanita Buddha. Kini dia telah menceraikannya. Aku kira dia ke sini untuk mencari ketenangan.

Di belakang aku Arif sedang berbual-bual dengan kawannya seorang India dari Melaka yang memeluk agama Islam 7 tahun dulu. Dia sedang menuntut di Pondok Tunjong.

Usai taraweh, aku ke bawah untuk minum air. Seorang kulit putih datang minum juga. Aku pernah nampak dia dua tiga kali beberapa bulan sudah. Hari ini aku memberanikan diri untuk menegurnya. Aku pernah ke negaranya, Switzerland. Tempat yang paling aku kagum di situ adalah Lucerne. Masih segar di ingatan, gunung-ganang diliputi salji nun jauh di kaki langit seberang tasik. Subhanallah. Rupa-rupanya itulah tempat asalnya. Sudah 20 tahun dia memeluk Islam dan berkelana. Dia sedang mencari-cari tempat untuk bermukim dan memulakan hidup baru. Dalam keadaan dunia sekarang yang penuh pergolakkan dan diskriminasi serta prejudis terhadap Islam, dia merasakan tiada tempat di dunia ini yang sudi menerima beliau.

Begitulah sepetang di Masjid Muhammadi. Pelbagai jenis manusia aku jumpai; masing-masing berkongsi 1001 cerita. Tetapi kami saling kenal-mengenal di bawah payung ukhuwwah Islam. Terasa seolah-olah beriftar di sebuah masjid di Kota London. Alhamdulillah.